Keselamatan Pekerja Tanggung Jawab Bersama.

1.1 PENGENALAN

Tekanan akibat daripada kesedaran di peringkat antarabangsa (misalnya WTO) dan dari dalam negeri (misalnya melalui NGO-NGO seperti MTUC), serta keinsafan semua pihak (kerajaan dan swasta) yang makin meningkat (dan menonjol) dalam hal keselamatan pekerja, termasuk di tapak bina telah membawa kepada tindakan susulan pengimplementasian langkah keselamatan diambil. Salah satunya ialah melalui cabang undang-undang.

Dalam perbincangan di sini, “keselamatan pekerja” merujuk kepada keselamatan pekerja itu daripada bencana kecederaan, kematian atau kerosakan tubuh badannya. Aspek kesedaran, perspektif undang-undang, pula merangkumi kesedaran oleh pihak berkuasa sendiri, majikan (kontraktor, subkontraktor, tuanpunya projek dan konsultan projek), dan kesedaran pekerja itu sendiri. Skop “kesedaran” dan “menyedarkan” ini nampaknya merangkumi ketiga-tiga pihak itu, termasuk mengimplementasikan kesedaran itu sendiri.

2.1 UNDANG-UNDANG BERKAITAN KESELAMATAN PEKERJA DI TAPAK BINA – PIHAK-PIHAK YANG TERLIBAT

2.1.1 Pihak Berkuasa dan Klien Projek

Di pihak berkuasa, sekurang-kurangnya ada dua undang-undang bertulis yang relevan di sini iaitu Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerja 1994 (disebut AKKP 1994) dan Akta Kilang dan Jentera 1967 (disebut AKJ 1967). Di dalam AKKP 1994, ditekankan mengenai tugas-tugas am majikan dan pekerja dalam hal keselamatan. Seksyen 15 AKKP 1994 menekankan bahawa adalah menjadi tugas setiap majikan mempastikan seberapa yang boleh, keselamatan pekerja-pekerjanya, di mana ini termasuklah soal-soal sistem dan prosedur kerja yang selamat, peralatan yang selamat (diguna atau atas kewujudannya di situ) dan tempat serta suasana kerja yang selamat. Secara khususnya, menurut Seksyen 15(1) AKKP 1994, tugas menjaga keselamatan pekerja (termasuk di tapak bina) merangkumi:

(a) penyediaan dan penyenggaraan mesin jentera dan alatan, dan sistem kerja yang selamat, dan tidak memberi risiko kesihatan;

(b) diwujudkan dan dipastikan pengoperasian dan penggunaan jentera dan alatan itu adalah selamat;

(c) memberi maklumat, arahan, latihan dan penyeliaan yang sesuai kepada pekerja berkaitan keselamatan mereka semasa bekerja;

(d) penyenggaraan tempat kerja dan keadaan kerja supaya sentiasa selamat; dan

(e) suasana kerja itu juga selamat pada keseluruhannya kepada pekerja.

Perkara-perkara di atas perlu diterjemahkan kepada pernyataan bertulis polisi keselamatan oleh majikan (Seksyen 16 AKKP 1994).

2.1.2 Pihak Pekerja dan Kontraktor Projek

Di pihak pekerja sendiri, menurut Seksyen 24 AKKP 1994, mereka dikehendaki:

(a) mengambil langkah yang munasabah dalam menjadi keselamatan mereka (yakni berhati-hati semasa bekerja);

(b) memberi kerjasama kepada majikan dalam pengimplementasian Seksyen 15(1) yang dinyatakan sebelum ini;

(c) sentiasa memakai atau mengguna peralatan perlindungan atau pakaran keselamatan yang disediakan majikan semasa bekerja; dan

(d) mematuhi sebarang arahan atau langkah-langkah keselamatan yang diberi oleh majikan.

Perkara-perkara di atas juga amat diharapkan diimplemen oleh kontraktor utama (Maule, K. 1998). Malah penwujudan Kod Praktis Industri (Seksyen 37 & 38), Pegawai dan Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (Bahagian VII) AKKP, 1994, menggambarkan betapa undang-undang perihatin dalam keselamatan pekerja.

3.1 LANGKAH-LANGKAH DAN AKTIVITI-AKTIVITI YANG DIPERLUKAN

3.1.1 Di bawah Statut

Jika kita jengok kepada Akta Kilang dan Jentera 1967 (AKJ 1967), terutama Bahagian II Akta, ia menekankan langkah-langkah atau aktiviti-aktiviti keselamatan pekerja yang perlu diambil oleh semua pihak di dalam industri (terutama oleh majikan). Ini temasuklah:

(a) menentukan kekukuhan binaan, lantai, atas, laluan, tangga, tempat bekerja yang selamat untuk pekerja;

(b) borang dan bahan yang disimpan selamat kepada pekerja;

(c) kaedah kerja (seperti cara mengangkat beban) yang tidak menyebabkan/memungkinkan mencederakan pekerja;

(d) keselamatan daripada kebakaran; dan

(e) mesin, jentera dan alatan kerja yang dipasang, dibaiki dan diselenggara perlulah mengambilkira keselamatan pekerja (yang menggunakannya atau mungkin menerima kesan daripadanya).

Secara lebih terperinci lagi, berkaitan penggunaan atau pemakaian alatan kerja, Peraturan Kilang dan Jentera (Keselamatan, Kesihatan dan Kebajikan) 1970 menyenaraikan peralatan-peralatan berkaitan yang termasuklah:

(a) alat pelindung muka (goggles) yang sesuai bagi kerja-kerja yang memerlukan ia dipakai (seperti kerja pemeterian);

(b) penutup telinga; dan

(c) pakaran keselamatan – seperti baju, seluar, topi dan sarung tangan.

Alat-alat ini perlu disedia majikan (bagi kerja-kerja di mana alatan itu perlu disedia) dan ia mesti dipakai oleh pekerja berkenaan.

Perkara-perkara mengenai tanggungjawab majikan (menyedia peralatan keselamatan) dan tanggungjawab pekerja (memakai atau mengguna peralatan berkenaan) pernah menjadi isu perbincangan utama dalam kes Wong Soon San lwn. Malayan United Industrial Co. Ltd. ([1967] 1 MLJ 1). Dalam kes ini sekeping zink telah melantun dan mengenai mata kanan plaintif (pekerja)(dan mata itu buta) semasa dia sedang bekerja dengan defendan (majikan) membaikrapi kepingan zink dengan menggunakan sebuah mesyin. Walaupun mesyin itu dilengkapi alat penghadang (deflector) sebarang lantunan kepingan zink namun ianya kadangkala dipindahsuai oleh operator mesyin dan ini memerlukan ianya diperiksa oleh penyelia kilang. Plaintif pula tidak disediakan alat pelindung muka seperti yang dikehendaki oleh peraturan 16(3) Peraturan (Keselamatan, Kesihatan dan Kebajikan) 1956. Mahkamah menyatakan bahawa majikan itu telah melanggar tanggungjawab statutori berkenaan (dan juga dibawah “common law”). Namun dalam kes ini pekerja itu juga turut cuaisumbang (yang mahkamah kira pada tahap 30%) kerana tindakannya memindahsuai alat penghadang mesyin tanpa pengetahuan penyelia. Namun begitu, yang menarik perhatian adalah apa yang dikatakan oleh hakim Raja Azlan Shah, iaitu, “Saya mesti juga ingat bahawa Peraturan-peraturan (Keselamatan, Kesihatan dan Kebajikan) adalah ditujukan bukan sahaja kepada pekerja-pekerja yang cermat, bijaksana dan patuh tetapi juga kepada mereka yang bodoh, tidak berwaspada dan tidak patuh”.

Sebagai satu polisi bersama, menurut Tatacara Bagi Keharmonian Industri, perkara mengenai memberi latihan yang mencukupi kepada pekerja dan keadaan fizikal kerja yang baik adalah ditekankan. Hal yang sama dinyatakan di dalam Seksyen 26 AKJ 1967.

Jika kita lihat Borang-Borang Seragam Kontrak Pembinaan seperti JKR 203/203A, PAM 1998 dan CIDB 2000, seperti sudah menjadi amalan bahawa tuan punya projek (klien) menafikan (disclaimed) tanggungjawab menjaga keselamatan pekerja di tapak bina, dan ia diserah (dipindah) kepada kontraktor dan subkontraktor (lihat fasal 18.0 PAM 1998, fasal 32 JKR 203/203A dan fasal 35.1 CIDB 2000). Seni “mengelak tanggungan” yang diamalkan oleh klien projek ini, walaupun dari segi kontrak boleh dipakainya dengan jayanya, namun dari segi tanggungjawab moral dan daripada perspektif keharmonian industri, ianya tidak wajar.

3.1.2 Di bawah “Common Law”

Walau apapun, seperti yang dinyatakan di dalam kes Smith lwn Baker (Charles) & Sons ([1981] A.C. 325), “kontrak di antara majikan dengan orang yang diambil bekerja melibatkan di pihak majikan itu kewajipan untuk mengambil langkah berhati-hati yang munasabah… yang mana pada menjalankan operasinya tidaklah menjadikan pekerja-pekerjanya itu terdedah kepada risiko yang tidak perlu. Ini termasuk menyedia perkakas yang sesuai dan tidak mendatangkan risiko kepada pekerja”. Jika majikan gagal mengambil langkah berjaga-jaga (berhati-hati) yang munasabah dalam menjaga keselamatan pekerjanya, maka majikan itu (misalnya kontraktor) boleh didakwa cuai (Abdul Aziz Hussin, 2000, m.s. 20-25). Misalnya, seperti yang dikatakan oleh hakim Lord Wright dalam kes Nichols lwn. Austin (Leyton) Ltd.([1946] 2 All E.R.97), bahawa, “kewajipan ‘common law’ …tidaklah boleh dipersoalkan lagi. Namun ianya terhad kepada [kewajipan] berhati-hati dan kemahiran yang munasabah dalam melindungi daripada bahaya, dimana sebagai seorang manusia yang munasabah, majikan sepatutnya telah dapat menjangkakannya[ bahaya itu]“. Dalam kes Paris lwn Stepney Borough Council ([1951] 1 All E.R. 42] pula, hakim Lord Oaksley menyebut bahawa, “tugas seseorang majikan terhadap pekerjanya ialah untuk mengambil langkah berhati-hati yang munasabah mengenai keselamatan pekerjanya dalam semua keadaan bagi sesuatu hal itu”.

Contohnya seperti yang dinyatakan di dalam kes Ng Kim Cheng Pte. lwn. Naigai Nitto Singapore Ltd. ([1991] 2 MLJ 296), majikan telah didapati cuai kerana gagal mengambil langkah-langkah keselamatan atas keselamatan plaintif (pekerja) dan menyedia sistem kerja dan gagal untuk menjaga atau membaiki brek keselematan jenangkat-susun itu dengan baik. Mahkamah juga memutuskan bahawa majikan berkewajipan untuk berjaga-jaga yang munasabah untuk menyediakan logi dan perkakasan yang selamat untuk kegunaan pekerja-pekerjanya, dan menyenggaranya supaya senantiasa dalam keadaan baik. Dan obligasi ini adalah secara berterusan – Wilson & Clyde Co. lwn. English ([1938] A.C.57). Sistem kerja yang selamat dan yang tidak mendedahkan risiko kecederaan/kematian kepada pekerja ditekankan juga di dalam kes Mohd. Sainudin b. Ahmad lwn. Consolidated Hotels Ltd. & seorang lagi ([191] 1 MLJ. 27).

Kegagalan menyediakan peralatan keselamatan (misalnya tali pinggang keselamatan) kepada pekerja dalam jenis-jenis kerja yang memerlukan penggunaannya boleh mengakibatkan majikan didakwa cuai, contohnya di dalam kes Chong Fah Lin lwn. United Engineers (M) Sdn. Bhd. ([1978] 2 MLJ 359).

Di pihak pekerja itu sendiri juga perlulah insaf untuk menjaga keselamatannya sendiri dari risiko kecederaan/kematian, misalnya berhak semasa kerja (Wilson lwn. Tyneside Window Cleaning [1958] 2 Q.B.110) termasuk menggunakan peralatan keselamatan yang disediakan, misalnya talipinggang keselamatan (McWilliam lwn. Sir Willim Arrol & Co. Ltd. [1962] 1 W.L.R. 295) atau menggunakan tangga mudahaleh dengan betul dan cermat (Eng Lye Hup Co. Ltd. lwn. Chua Sai Choo & seorang lagi [1968] 1 MLJ 231).

Kegagalan majikan mematuhi perkara-perkara perkaitan keselamatan pekerja juga suatu kesalahan di bawah AKJ 1967 (Seksyen 50) dan AKKP 1994 (Seksyen 51).<

4.1 PENUTUP

Walau apapun, daripada semua perspektif (pekerja, kontraktor, klien, konsultan, dan hatta kerajaan sendiri), sebarang ketidakpatuhan atau kegagalan dalam hal keselamatan pekerja tentunya merugikan semua pihak dan mewujudkan kos-kos tak perlu (unneccessary costs)(seperti kos penalti, halangan penerusan kerja kerana cedera atau oleh pihak berkuasa, tuntutan gantirugi, jam kerja (man-hour) dan lain-lain lagi), dan ini perlu diinsafi semua.

Adalah jelas bahawa di pihak kerajaan aspek-aspek undang-undang dan polisi (yang berbentuk fasilitatif, pengawasan dan penguatkuasaan) yang melibatkan aspek instrumen undang-undang itu sendiri (Akta dan Peraturan), orang (pihak penguatkuasa) dan kewangan (belanjawan yang mencukupi) adalah perlu.

Di pihak majikan pula (termasuk konsultan-konsultan projek), aspek-aspek penerapan dan pematuhan undang-undang dan polisi, keperihatinan, dasar kerja yang proaktif dan fasilitatif dalam hal keselamatan, dan pengetahuan yang cukup amatlah diperlukan. Di pihak pekerja sendiri, kesedaran dan kesediaan mematuhi peraturan dan prosedur keselamatan juga turut memberi sumbangan besar dalam menjamin keselamatan mereka sendiri. Dalam hal ini tentunya kita mengalu-alukan langkah proaktif kerajaan yang bercadang menghapuskan cukai import bagi alatan-alatan keselamatan kerja yang akan diperkenalkan dalam Belanjawan 2002 ini (Laporan Media 27 Ogos 2001).

Walau apa pun, perkara terpenting yang perlu ada pada setiap pihak berkaitan ialah keinsafan, rasa tanggunjawab, amanah dan sikap positif dalam hal-hal berkaitan kepentingan keselamatan pekerja. Undang-undang hanyalah salah satu instrumen dalam menjayakan perkara-perkara berkenaan.

Rujukan:

Akta Kilang dan Jentera ,1967.
Peraturan Kilang dan Jentera (Keselamatan, Kesihatan & Kebajikan), 1970.
Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerja, 1994.

Abdul Aziz Hussin, 2000, Aspek Undang-Undang Tort Dalam Projek Pembinaan.
Penerbit: Universiti Sains Malaysia.

No comments yet»

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: